NEWS
Pemuda UMNO tidak layak masuk kampus

Oleh : Muhammad Faisal Abdul Rahman
Setiausaha Agung Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS)

21,Feb-Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) menggesa supaya Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Hishamuddin Tun Hussein dan Pergerakan Pemuda UMNO supaya membatalkan hasrat mereka untuk masuk ke kampus untuk bertemu dengan pimpinan pelajar sebagaimana yang telah dinyatakan di dalam kenyataan akhbat Utusan Malaysia. Gesaaan ini dibuat adalah kerana GAMIS berpadangan bahawa Pemuda UMNO tidak layak samasekali untuk turun ke kampus.

GAMIS berpendirian sedemikian kerana beberapa sebab :

Pertama : Pemuda UMNO telah melemparkan tuduhan liar dan penghinaan kepada kepimpinan mahasiswa di dalam kenyataan akhbar Utusan Malaysia pada 12 Februari yang lalu iaitu hampir semua pimpinan pelajar menjadi penentang kerajaan dan telah dihasut pemikiran mereka oleh golongan tertentu. GAMIS berpandangan tuduhan ini amat berat seolah-olah kepimpinan mahasiswa tidak lagi mampu membuat penilaian dan berfikiran rasional terhadap kerajaan Malaysia. Tuduhan ini cukup menghina dan mengaibkan mahasiswa sebagai golongan intelektual. Bagaimana Pemuda UMNO hendak turun ke kampus sedangkan mereka terus menerus prejudis terhadap kepimpinan pelajar di kampus. GAMIS tidak rela melihat pimpinan pelajar di kampus terus diperlekehkan oleh mana-mana pimpinan politik kerajaan mahupun pembangkang.

Kedua : Pemuda UMNO juga membuat tuduhan bahawa wujud golongan yang cuba menghasut para pelajar supaya bencikan kerajaan. Sebagai mahasiswa yang prihatin dan cintakan negera GAMIS mempertikaikan tuduhan ini. Ini kerana kenyataan tersebut cukup mengeliru mayasrakat. Jika Pemuda UMNO benar-benar telus mereka mesti buktikan tuduhan tersebut. GAMIS bimbang mayasrakat negara kita akan menganggap institusi pendidikan sebagai medan politik kepartian apatah lagi para pensyarah dan pihak pentadbiran yang ikhlas menyumbangkan bakti pula dianggap sebagai penghasut tersebut. Pemuda UMNO mesti bertanggungjawab terhadap tuduhan yang dilemparkan terhadap institusi pendidikan tinggi ini. Kegagalan Pemuda UMNO membuktikan tuduhan mereka menjatuhkan kewibawaan mereka untuk turun ke kampus bersama mahasiswa.

Ketiga : Mahasiswa tidak memerlukan penjelasan daripada Pemuda UMNO berkenaan isu-isu dalam negara. Sebagai sebuah parti politik Pemuda UMNO tidak berautoriti sebagaimana pergerakan pemuda parti-parti lain. Mahasiswa mahu bertemu secara langsung dengan pimpinan utama negara untuk mendengar penjelasan isu-isu dan perkembangan negara. Mahasiswa juga ingin terus bersemuka dengan tokoh negarawan kita seperti Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet Malaysia. Mahasiswa tidak memerlukan Pemuda UMNO sebagai orang tengah antara kerajaan dan mahasiswa. Ini kerana mahasiswa bimbang semangat politik kepartian akan merosakkkan kedamaian kampus yang subur sebagai kilang ilmu.

 

Oleh yang demikian GAMIS menasihatkan Pemuda UMNO supaya menghentikan angan-angan untuk bersama dengan mahasiswa. Mahasiswa sekarang telah berfikiran matang berfikir dan mampu untuk membuat penilaian terhadap tuduhan dan penghinaan yang dilemparkan kepada mereka oleh Pemuda UMNO.