NEWS
Siswa berjuang lonjakkan idealisme masa depan
Asyraf Wajdi Dusuki

Sejak pilihanraya umum 1999, pelajar adalah antara kelompok yang paling banyak mendapat perhatian pemimpin negara. Perhatian yang diberikan luar biasa hebat hingga dibincangkan secara panjang lebar di pelbagai pentas - daripada perhimpunan agung parti hinggalah di meja makan di warung-warung kopi.

Kebanyakan isu yang dibangkitkan rata-rata berlegar sekitar kecenderungan pelajar yang disifatkan oleh sesetengah pihak lebih mirip dan terdorong kepada pendekatan pembangkang. Pelbagai kenyataan dan label turut dilontarkan kepada kelompok ini; umpamanya generasi muda yang tidak tahu bersyukur, generasi pelajar yang tidak rasional, mereka yang sudah termakan hasutan parti pembangkang.

Hampir semuanya meletakkan generasi pelajar seolah-olah di kandang pesalah tanpa diberikan ruang dan peluang untuk membela diri.

Malah kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Hussein baru-baru ini yang melaporkan hampir semua pemimpin pelajar universiti menentang kerajaan semacam menzahirkan lagi nada kecewa bercampur prejudis terhadap kelompok generasi muda itu.

Sedikit sebanyak ia semacam satu fenomena yang cukup ironi. Suatu ketika timbul nada gusar di kalangan kepimpinan negara terhadap sindrom lesu dan beku yang melanda kelompok pelajar.

Gerakan pelajar dilihat seolah-olah hilang dinamika kepemimpinan untuk berfikiran kreatif dan kritis. Daya saing dan daya juang pelajar sebagai generasi muda negara cukup diragui, khususnya apabila membicarakan cabaran era globalisasi dan pasaran terbuka yang sedang rancak mencengkam serta menghakis kedaulatan negara hari ini.

Namun belum selesai perbincangan mengenai keupayaan membina generasi muda yang berkualiti dan berketrampilan, kini timbul pula isu pemimpin pelajar yang dianggap sebagai penentang kerajaan. Persoalannya benarkah pemimpin pelajar hari ini tidak rasional dan tidak matang menilai sesuatu isu yang berbangkit?

Adakah pimpinan pelajar hari ini telah diikat pemikiran dan tindakannya oleh parti pembangkang? Apakah pandangan dan kritikan pelajar terhadap dasar-dasar dan tindakan kerajaan merupakan satu ancaman kepada kedudukan kepimpinan negara? Upaya rohani mengolah pengetahuan Sikap dan pemikiran golongan muda yang kritis dan penuh semangat tidak seharusnya menjadi ancaman kepada mana-mana pihak.

Idea-idea yang lahir hanyalah manifestasi pengolahan idealisme dan pembangunan intelektualisme yang selama ini diperolehi melalui perbincangan di bilik kuliah, pembacaan buku ilmiah dan pemerhatian terhadap suasana sekeliling.

Kritikan dan rintihan pelajar yang dihemburkan merupakan pandangan ikhlas yang bertitik tolak daripada suatu idealisme luhur yang ingin melihat negara ditadbir dengan lebih baik dan generasinya pada masa depan mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain tanpa mengorbankan prinsip agama dan tradisi budaya.

Apa lagi sekiranya idealisme tersebut terbangun atas faktor keilmuan dan keprihatinan terhadap asas-asas Islam yang sejati. Keupayaan menyaring dan bersaing dalam dunia sejagat masa depan pasti memerlukan generasi yang terbangun intelektualnya.

Kebangunan dan kemajuan intelektual tidak hanya bergantung kepada kehebatan pelajar dalam memperolehi markah tinggi dalam peperiksaan semata-mata.

Kematangan intelektual juga tidak mungkin tercapai sekiranya pelajar mengasingkan terus dirinya daripada memahami dan menelaah apa yang berlaku di sekelilingnya.

Bahkan kebekuan intelektual pasti timbul sekiranya potensi dan idea pelajar berterusan dikekang, diperlekehkan dengan label-label yang akhirnya boleh melemahkan semangat dan membantutkan perkembangan watak dan peribadi pelajar yang dinamik.

Ia diperakui oleh seorang pemimpin dan ahli fikir Katolik, Kardinal John Henry Newman (1801-1890), dalam ceramahnya tentang pembangunan intelek semasa beliau menjadi Presiden Universiti Katolik di Dublin.

Beliau berpandangan bahawa pembangunan intelek tidak hanya bergantung kepada penambahan pengetahuan semata-mata tetapi kepada pengolahan pengetahuan itu oleh upaya rohani kita.

Dalam konteks ini, kuasa gerak yang utama ialah apa yang dikatakan sebagai enlargement atau peluasan idea dan pemikiran yang teradun antara penambahan pengetahuan dan pengolahan idea serta keupayaan menterjemahkannya di alam realiti.

Pembangunan intelektual akan terencat sekiranya wujud unsur-unsur mengekang ataupun mengongkong idea-idea seseorang. Sehubungan dengan itu mungkin ada baiknya jika kita cuba meneladani sejarah Barat yang hidup dalam ‘Zaman Gelap’ beratus-ratus tahun sebelum bangkit sebagai kuasa besar yang menentukan hala tuju dunia hari ini.

Harus diingat keupayaan negara Barat mencapai status negara maju kini juga adalah hasil keupayaan dan kejayaan mereka memecah kebekuan pemikiran yang cuba dikawal dan dikongkong oleh pihak Gereja yang berkuasa. robot-robot bernyawa Proses persinaran ilmu (Enlightenment) sejak kurun ke 17 dan 18 hinggalah tercetusnya Revolusi Perancis yang berlaku pada tahun 1789 adalah satu titik mula buat masyarakat Barat untuk bangkit sebagai sebuah kuasa besar dan berstatus maju hari ini.

Inilah yang cuba dipraktiskan oleh kebanyakan pemimpin pelajar apabila mereka mengkritik dan agak lantang mempertahankan sesuatu pendirian. Kritikan dan pembabitan mereka dengan isu-isu kenegaraan hanyalah manifestasi kematangan dan keyakinan mereka terhadap prinsip-prinsip agama dan nilai sejagat yang selama ini dihayati dan diperolehi daripada bilik kuliah.

Kritikan dan pandangan mereka perlu dilihat sebagai satu proses pendidikan dan latihan intelektual sebelum mereka terjun dalam masyarakat dan dunia realiti sebenar.

Ini juga mengelakkan mereka seolah-olah berada di bawah tempurung dan ‘syok sendiri’ dengan idealisme yang tidak realistik. Negara pastinya tidak mahu melahirkan robot-robot bernyawa sekadar menjadi tenaga kerja mahir dalam sesuatu bidang tetapi tidak mampu mengolah idea-idea baru apabila mendepani cabaran dunia tanpa sempadan pada masa depan.

Negara juga pastinya memerlukan generasi pelajar yang berfikiran kreatif, mempunyai daya intelektual tinggi serta berupaya menyaring dan bersaing seiring dengan aspirasi Wawasan 2020 nanti. Justeru penjernihan sikap - dengan tidak memandang sinis pandangan dan idea pelajar - harus ada pada pemimpin politik sekiranya mereka ingin melihat generasi pewaris yang berkualiti. Tempelan label seperti pimpinan pelajar ‘tidak rasional’ dan menjadi ‘mangsa hasutan pembangkang’ tidak akan menyelesaikan masalah.

Malah hanya mengundang masalah yang lebih besar, seperti menjauhkan lagi masyarakat pelajar daripada arus perdana negara dan lebih parah lagi jika wujud kebekuan pemikiran di kalangan generasi muda hari ini.

Jangan nanti kita dipersalahkan oleh anak cucu kita masa depan kerana meninggalkan generasi pewaris yang lemah dalam kepemimpinan negara lantaran hilangnya dinamisme kepimpinan (akibat kebekuan dan kelesuan pemikiran).

Inilah juga yang pernah Allah tegaskan: “Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya (mereka) meninggalkan di belakang meraka zuriat keturunan yang lemah...”

[Al-Quran, surah An-Nisa’: 9]

ASYRAF WAJDI DUSUKI adalah Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

source:malaysiakini.com