NEWS

Kebangkitan pelajar antikerajaan: Satu kupasan
NM Omar

15,March-Apabila Ketua Pemuda Umno Hishammuddin Hussein mengeluarkan kenyataan bahawa kebanyakan pemimpin pelajar tidak menyokong kerajaan, beliau tidak menyangka kenyataan tersebut boleh memakan dirinya sendiri.

Pada 11 Februari lalu sewaktu merasmikan Konvensyen Mahasiswa Melayu Kebangsaan 2001 di Shah Alam, beliau berkata: "Saya akui kebanyakan pemimpin pelajar di universiti-universiti tempatan tidak menyokong kerajaan."

Apa yang jelas pada pemahaman sempit Hishammuddin ialah tindakan dan idealisme pimpinan pelajar adalah pro-pembangkang dan anti-kerajaan. Kesimpulan umum yang boleh dibuat - sama ada pelajar-pelajar itu menentang kerajaan membuta-tuli dan dilihat sebagai alat pembangkang, atau mereka benar-benar mahu menuntut reformasi dalam negara, misalnya soal keadilan dan ketelusan pentadbiran negara.

Prinsip-prinsip murni ini jelas dimamah oleh kerajaan di bawah pimpinan Mahathir Mohamad. Apa yang pasti, pelajar tidak dapat menutup sebelah mata terhadap ketidakadilan dan penindasan yang berlaku di depan mata mereka.

Sejak pemecatan, pengurungan, percubaan menjatuhkan maruah dan pemenjaraan terhadap Anwar Ibrahim, pelajar berasa terpanggil untuk menunjukkan rasa tidak berpuas hati mereka terhadap kerajaan.

Gelombang yang berterusan ini tidak dapat dibendung lagi oleh kerajaan dan mereka terpaksa mencari ‘kambing hitam’ - lalu Barisan Alternatif dituduh menghasut pelajar bagi menutup kelemahan kerajaan sendiri. Dengan tuduhan melulu menyalahkan BA, di samping menutup kelemahan Barisan Nasional, Hishammudin berkata: "Mereka selama ini disemai dan dihasut oleh pihak tertentu supaya membenci kerajaan dan (keadaan) ini tidak boleh dibiarkan."

Seperti pemimpin-pemimpin kerajaan lain yang bersifat burung belatuk, Hishammuddin cuma mengiyakan apa sahaja yang dipalu oleh Mahathir. Perdana Menteri acap kali berkata pelajar sejak kecil lagi telah dididik, dihasut dan disemai dengan sifat-sifat membenci kerajaan dan pemimpinnya.

Kata Mahathir lagi, dahulu kerajaan tidak mahu mengganggu pelajaran siswa, tetapi sekarang kerajaan terpaksa campur tangan dalam usaha untuk menerapkan ‘dasar-dasar cintakan kerajaan.’

Kenyataan tanpa bukti Hishammudin terus mengiyakan titah perintah Mahathir dengan berkata: "Pemuda Umno mulai sekarang akan terus mendampingi golongan pelajar universiti."

Kenyataan itu sungguh tidak 'original' dan juga menunjukkan ketidakwibawaannya sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Ketua Pemuda Umno.

Hishammuddin sudah tentu menjangkakan pemimpin pelajar akan membuat kenyataan balas yang mengecam beliau. Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mahadi Sukarno berkata Hishammuddin tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu secara melulu, tanpa ada sebarang bukti yang jelas dan nyata. "

Ia merupakan pandangan yang kurang bijak dari Hishammuddin. Tidak ada bukti yang menunjukkan mana-mana Presiden MPP atau kepimpinan yang mewakili pelajar condong kepada mana-mana parti politik, khususnya pembangkang,” katanya.

Tetapi lebih mengejutkan beliau ialah 'political backlash' daripada pemimpin kumpulan pelajar yang prokerajaan dan pemimpin kerajaan. Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Suhaimi Ibrahim berkata: "Tanggapan seperti itu akan menyinggung perasaan pelajar serta menimbulkan keresahan masyarakat, terutama ibu bapa."

Saya fikir kenyataan Suhaimi itu membayangkan terdapat usaha tertentu dalam Pemuda Umno untuk memalukan Hishammuddin. Saya dimaklumkan ketika GPMS bercadang mengadakan road show berkaitan isu Suqiu, usaha itu ada kaitan dengan pemimpin tertentu dalam Pemuda Umno.

Inilah permainan politik cantas-mencantas di kalangan pemimpin-pemimpin Umno. Sebagai menteri, Hishammuddin sepatutnya melakukan 'self-criticism' untuk menyelami rasa tidak puas hati para pelajar terhadap salah guna kuasa kerajaan Barisan Nasional.

Beliau tidak seharusnya menyalahkan BA kerana tidak dapat membendung gelombang kebangkitan pelajar yang semakin lantang. Hishammudin jelas tidak mempunyai kekuatan untuk mengaku bahawa tindakan-tindakan kerajaan di bawah pimpinan Mahathir jelas tidak adil, tidak telus dan bersifat menindas pelajar serta rakyat marhain.

Bukan ‘budaya semasa’ Menteri Pendidikan Musa Mohamad pula berkata: "Terdapat juga budaya terikut-ikut di kalangan pelajar di mana mereka gemar mencontohi pelajar-pelajar yang mengkritik kerajaan dan ia merupakan budaya semasa tetapi mereka bukannya antikerajaan."

Kenyataan ini jelas membidas Hishammudin, namun dalam masa yang sama pemahaman Musa turut tersasar apabila mengatakan bahawa gejala ini adalah trend atau budaya semasa. Mungkin Musa tidak mengetahui sejarah iltizam dan idealisme pelajar.

Presiden Suharto di Indonesia jatuh daripada tampuk pemerintahan akibat kebangkitan pergerakan pelajar, begitu juga Marcos (Filipina) dan Shah (Iran).

Dalam sejarah tanahair, pada lewat 1960-an dan awal 1970-an, kebangkitan pelajar merupakan tempat rakyat mendapat pembelaan apabila kerajaan bersikap acuh tidak acuh dan tidak mengendahkan hal kebajikan rakyat. Nama-nama seperti Syed Hussin Ali, Ibrahim Ali, Hishammudin Rais dan juga Anwar merupakan barisan pimpinan pelajar yang kehadapan berjuang menegakkan nasib rakyat terbanyak yang tertindas dan tidak terbela.

Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya danKelab Sosialis merupakan antara persatuan-persatuan pelajar yang paling lantang memperjuangkan hak rakyat pada waktu itu.

Adakah ini juga budaya semasa? Pergerakan pelajar yang menentang penindasan di Tasik Utara, Johor dan memperjuangkan nasib rakyat miskin di Baling, Kedah merupakan satu iltizam, idealisme dan aktivisme pelajar yang prihatin.

Kebangkitan ini mempunyai misi dan objektif yang murni dan bukan hanya satu budaya semasa. Pastinya pelajar tidak hanya belajar daripada buku teks atau nota kuliah tetapi mereka turut mandapat pendidikan yang tidak ternilai melalui demonstrasi-demonstrasi, meskipun mereka boleh dipenjarakan.

Sebagai menteri, Musa tidak harus terperangkap dengan permainan politik kotor pemimpin-pemimpin BN atau Umno tetapi kebajikan, kehendak dan keperluan pelajar mestilah dipertimbangkan dan dipenuhi. Hak-hak asas seperti berkumpul secara aman, bersuara dan berpersatuan harus dikembalikan kepada pelajar.

Akta Universiti dan Kolej Universiti mestilah dibubarkan agar pelajar dapat memperluaskan minda mereka mengikut arus perubahan zaman. Apa yang jelas ialah pelajar mempunyai iltizam yang hampir selari dengan BA tetapi ia tidak bermakna pelajar merupakan alat pembangkang.

Presiden MPP Universiti Malaysia Sarawak (UMS), Jabdin Juhat pula berkata: "Mungkin secara kebetulan ia mempunyai persamaan dengan pendapat sesebuah parti politik, tapi ia tidak bermakna kami cenderung kepada pembangkang."

'Udang di sebalik batu'

Di mata dan hati pelajar, BA mewakili perjuangan dan kehendak mereka. Namun ada juga tindakan BA yang belum mendapat reaksi yang positif - misalnya ‘agenda politik baru’ yang dilaungkan baru-baru ini.

Politik perkauman yang telah ditanam oleh Umno masih tebal di kalangan pelajar, Melayu khususnya. Akibatnya, apabila isu perpaduan Melayu dipalu, maka ramailah pemimpin pelajar seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN) mengangguk tanda setuju tanpa memeriksa 'udang di sebalik batu' Umno.

Pada waktu itu, sokongan pelajar itu tidak pula disifatkan budaya semasa! Sesebuah negara akan maju sekiranya pemudanya dinamik, berkembang pemikirannya dan tidak mundur atau jumud.

Presiden PKPIM, Asyraf Wajdi Dasuki berkata: "Jangan nanti kita dipersalahkan oleh anak cucu kita kerana meninggalkan generasi pewaris yang lemah dalam kepemimpinan negara lantaran hilangnya dinamisme kepimpinan (akibat kebekuan dan kelesuan pemikiran)." (Siswa berjuang lonjakkan idealisme masa depan, 19 Feb) Ahmad Zaki Yamani, bekas pemimpin pelajar dalam artikelnya 'Pemimpin siswa 'melacurkan' politik' (malaysiakini, 10 Mac), menganggap pemimpin siswa sebagai ‘pelacur politik.’

Mungkin ungkapan 'pelacur politik' berbau busuk, jijik dan hina tetapi menurut kefahaman saya, Zaki perlu berkata demikian agar pemimpin pelajar tidak menjadi seperti lembu yang ditarik hidung oleh pihak yang mempunyai kepentingan politik.

Katanya: "Siswa perlu bebas agar mereka boleh mengkritik dan memberikan cadangan untuk membetulkan kesilapan yang berlaku. Mereka perlu bebas menegur sesiapa, hatta pemerintah dan juga pembangkang."

Namun dalam masa yang sama, perlu dinyatakan bahawa menjadi prerogatif parti-parti politik pemerintah ataupun pembangkang untuk mengembangkan sayap mereka ke kampus-kampus.

Akan tetapi pemimpin siswa sepatutnya mempunyai kekuatan dan moral high ground untuk menegur sebarang kemungkaran, termasuklah parti induk mereka sendiri.

Pemimpin persatuan dan biro siswa mestilah mereka yang mempunyai wibawa dan kredibiliti agar pergerakan pelajar diolah menjadi satu institusi yang dinamik, progresif dan berprinsip.

NM OMAR pernah aktif sebagai Ketua Cawangan Kelab Umno UK & Eire dan juga Presiden Persatuan Pelajar Malaysia St Andrews, United Kingdom. Kini beliau aktif bersama gerakan reformasi

source:malaysiakini.com