NEWS

Pelajar serah memo kepada Suhakam

June 23 : Pelajar yang disingkir oleh pihak Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) hari ini menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), di ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Rafzan Ramli, pelajar jurusan Kejuruteraan Elektrik, telah diharamkan daripada meneruskan pengajiannya di universiti itu semalam, kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan haram yang mengutuk Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), di pekarangan Masjid Negara, 8 Jun lalu.

Rafzan, yang disertai oleh lebih 50 pelajar lain yang mewakili beberapa pertubuhan pelajar, menyerahkan memorandum itu kepada setiausaha Suhakam, Kamaruddin Mohamed Baria, yang berjanji akan menyerahkannya kepada Pesuruhjaya Isnin ini.

Seramai 15 polis Cawangan Khas juga kelihatan di kawasan ibu pejabat Suhakam. Rampas sepanduk Kamaruddin juga memberitahu Rafzan, pesuruhjaya akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan isu tersebut Isnin ini dan Rafzan boleh menghubungi Suhakam Rabu ini untuk mengetahui keputusannya.

Seorang wakil daripada Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI), Syahrir Mahmood berkata beberapa orang polis Cawangan Khas yang kelihatan di situ telah merampas sepanduk daripada pelajar.

Bagaimanapun, para pelajar cuba membantah dan selepas pihak Suhakam campur tangan, pihak polis memulangkan sepanduk kepada para pelajar. Menurut Syahrir, GMMI berharap Suhakam boleh menjamin hak para pelajar dan melindungi mereka daripada ditindas dari tindakan oleh pihak universiti. “GMMI berasa penyingkiran Rafzan itu membuktikan pelajar tidak dibenarkan menyatakan pendapatnya dan memberi tanggapan secara bebas tanpa halangan dan tekanan."

Rafzan yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak Lembaga Tatatertib UiTM semalam meminta Suhakam mengkaji semula tindakan universiti dan cara Lembaga Tatatertib melaksanakan perbicaraan serta kesahihannya di segi Undang-undang Institusi Pengajian Tinggi.

Alat politik Sementara itu, wakil pemuda Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini mengutuk tindakan pihak universiti itu sebagai tidak adil, kurang matang dan tidak bertamaddun. Jurucakap Biro Pelajar Pemuda PRM, Muhammad Ali Syed Hussein, berkata pihak Lembaga UiTM menjatuhkan hukuman tanpa memberi peluang kepada Rafzan menggunakan haknya untuk membela diri. “Keputusan itu telah mengaibkan nama baik UiTM,’ kata Muhammad Ali.

Beliau menjelaskan UiTM sepatutnya bertindak lebih matang dan adil dalam kes ini. Katanya ini kerana Rafzan hanya menggunakan haknya seperti termaktub dalam perlembagaan negara bagi menyuarakan rasa tidak puas hatinya terhadap penggunaan ISA. “UiTM patut menerima hakikat bahawa ia adalah sebuah institusi yang ditubuhkan untuk orang awam, justeru itu ia harus mencerminkan keperluan dan kehendak awam, bukan menjadi alat politik kepada pihak kerajaan.”

“Kami akan berdiri di belakang Rafzan untuk mempertahankan haknya bagi meneruskan pengajiannya di universiti itu dan berharap Suhakam dan mahkamah akan menjamin haknya itu,” jelas Muhammad.

source:malaysiakini.com