NEWS

Dua aktivis pelajar USM hadapi tindakan disiplin
Ng Boon Hooi

June 29 :Dua pemimpin pelajar dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib Universiti Sains Malaysia Selasa ini dengan tuduhan mengeluarkan kenyataan kepada akhbar Mei lalu dan menjual lencana kempen anti-ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di kampus itu awal bulan ini.

Pengerusi Persatuan Bahasa Tionghua (PBT) Lee Yen Ting dan Setiausaha Agungnya Choo Chon Kai menerima surat notis itu dua hari lalu daripada Penolong Pendaftar Hal-ehwal Pelajar (HEP), Zaitun Adnan.

Lee menghadapi satu tuduhan, sementara Choo menghapai empat tuduhan. Lee dan Choo dituduh mengeluarkan kenyataan kepada akhbar Sin Chew Jit Poh pada 19 Mei lalu yang bertentangan dengan seksyen 15, Kaedah-kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib).

Satu sumber universiti itu memberitahu malaysiakini, Choo juga didakwa mengeluarkan kenyataan kepada The Star pada 21 Mei berhubung pertandingan debat yang disertai persatuan itu.

Lee dilaporkan berkata USM tidak membenarkan kumpulan bahas PBT menyertai pertandingan Debat Antara Universiti-universiti Singapura dan Malaysia yang berlangsung 20 hingga 27 Mei lalu di republik itu.

Menurut laporan itu, kumpulan debat PBT memohon untuk menyertai acara itu dua bulan sebelumnya tetapi universiti itu tidak memberikan sebarang jawapan.

Hanya dua hari sebelum pertandingan berlangsung, USM menolak permohonan itu dengan alasan tidak mengikut tatacara universiti. Sumber itu memberitahu, Choo juga dituduh menjual lencana kempen ‘Mansuhkan ISA’ kepada seorang kakitangan USM dan menyimpan sembilan lencana lagi di dalam begnya pada 8 Jun.

Sumber itu berkata, dua pemimpin PBT itu dikehendaki hadir di depan pihak berkuasa tatatertib USM di bilik persidangan HEP pada 3 Julai. ‘Hari hitam keadilan - 3 Julai’ Malaysiakini difahamkan, seorang pegawai keselamatan yang berpakaian biasa membeli lencana anti-ISA itu daripada Choo pada pagi hari itu.

Pegawai itu bersama dua kakitangan Jabatan Keselamatan USM kemudian menemui Choo semula dan pelajar itu diarahkan ke jabatan itu serta-merta.

Di bilik siasatan jabatan itu, pegawai keselamatan itu membuka beg serta memeriksa barang-barang Choo. Mereka mendakwa lencana anti-ISA itu dilarang dimiliki di kampus dan merampasnya.

Mereka juga merakam gambar muka pelajar itu. Sementara itu, menurut sumber yang sama, dua orang pegawai keselamatan juga telah merampas lencana anti-ISA dan kad matriks seorang pelajar Tan Cheng Choon pada 8 Jun.

Pelajar itu diarahkan menanggalkan poster ‘Mansuhkan ISA’ di papan kenyataan PBT dan kemudiannya membawa poster itu ke Jabatan Keselamatan.

Pelajar-pelajar yang tidak berpuas hati dengan tindakan USM itu melancarkan kempen tandatangan hari ini bagi meminta universiti itu bersikap lebih terbuka dan tidak mengambil tindakan terhadap Lee dan Choo.

Lulusan-lulusan USM juga akan melancarkan kempen berpakaian hitam pada setiap Selasa mulai minggu depan sebagai memperingati ‘hari hitam keadilan - 3 Julai’, sehingga universiti berhenti mengambil tindakan disiplin terhadap aktivis-aktivis itu.

Kata sumber, kumpulan pelajar itu akan mengadakan larian di kampus USM dengan pakaian hitam pada hari Ahad ini. Minggu lalu, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Rafzan Ramli, dibuang serta-merta selepas dituduh terlibat dalam perhimpunan membantah ISA di Masjid Negara pada 8 Jun.

Beliau kini sedang menunggu jawapan rayuan daripada Kementerian Pendidikan. Sementara dua pelajar Universiti Malaya, yang turut ditangkap dalam perhimpunan itu, dilaporkan dipanggil oleh pihak pentadbiran untuk memberi penjelasan.

source:malaysiakini.com