muka 1
muka 2

 

 

Transformasi Minda dalam Proses Reformasi
oleh Fathi Aris Omar

Identiti Ras dan Politik Perkauman
oleh Lee Ban Chen

Menghapuskan Perkauman:Kenapa Mahasiswa dan Bagaimana?
oleh Ahmad Zaki Yamani

Pemuda Sebagai Penawar Keracunan Perkauman
oleh Chai Chee Fat
t

Report
oleh DEMA

Identiti ras dan politik
perkauman

Selepas kekalahan calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil DUN Lunas, Kedah pakatan parti kerajaan itu dengan sedaya upaya cuba mewujudkan suasana krisis antara kaum yang berbahaya.

Isu-isu Suqiu, Sekolah Wawasan dan pilihanraya kecil Lunas dimanipulasi oleh Perdana Menteri sendiri dan konco-konconya seperti Pemuda Umno, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan media massa miliknya.

Setelah tersiar kenyataan bersama Pemuda Umno-Suqiu untuk mengetepikan tujuh tuntutan rayuan jawatankuasa persatuan Cina itu, dan percubaan Umno untuk menganjurkan pertemuan perpaduan Melayu dengan PAS dan Parti Keadilan Nasional, politik perkauman kelihatan makin menjadi-jadi.

Justeru itu, dialog tentang perkara itu adalah tepat pada masanya. Identiti ras Menurut The New International Webster's Comprehensive Dictionary of the English Language, ras (race) ditakrifkan sebagai: "One of the major subdivisions of mankind, regarded as having a common origin and exhibiting a relatively constant set of physical traits.

On the basis of the more commonly used criteria such as stature, the cephalic index, the nasal index, prognathism, skull capacity, texture of the hair, degree of pilosity, color of the skin, and hair and eye color, mankind has been divided into primary stocks or races, each of which is regarded as including a varying number of ethnic groups.

According to some, the primary stocks are the Caucasoid, the Mongoloid, and the Negroid." Terjemahannya, ras ditakrifkan "salah satu pembahagian utama kumpulan manusia, dianggap sebagai mempunyai asal sepunya dan memperlihatkan satu set ciri-ciri fizikal yang kekal secara relatif.

Berasaskan kriteria yang lebih biasa digunakan seperti ketinggian badan, indeks kepala, indeks hidung, bentuk dagu, muatan tengkorak, tekstur rambut, darjah bulu, warna-warna kulit, rambut dan mata; manusia telah dibahagikan menjadi beberapa ras yang utama, dan setiap ras itu pula dianggap terbahagi dalam kumpulan-kumpulan etnik yang berlainan. Mengikut sesetengah pakar, ras-ras yang utama ialah Kaukasoid, Mongoloid dan Negroid."

Di negara kita Melayu, Cina dan India adalah tiga ras utama. Daripada ciri-ciri fizikal, kita dengan mudah saja mengenal pasti kumpulan-kumpulan tersebut.

Selain ciri-ciri fizikal, ras-ras yang berlainan itu juga mempunyai sifat dan cara hidup yang berbeza, umpamanya adat-istiadat, agama, bahasa, budaya dan sebagainya.

Oleh itu, identiti ras itu memang wujud sebagai realiti yang tidak dapat dinafikan. Selain identiti ras, dalam hubungan yang lain pula, setiap orang mempunyai beberapa identiti lagi.

Umpamanya dalam keluarga, kita adalah anak, ayah atau ibu, suami atau isteri kepada seseorang. Dalam masyarakat pula, kita dikenali sebagai seorang pekerja, petani, ahli profesional, pengguna, ahli politik, aktivis sosial, majikan dan sebagainya.

Namun, yang penting sekali ialah kita semuanya rakyat Malaysia dan umat manusia. Baru-baru ini, sekiranya mengikuti laporan media perdana, akibat berulang-ulang diingatkan tentang identiti ras, malah diapi-apikan sentimen perkauman secara terancang, kita tentu lebih sedar akan identiti ras kita.

Di satu pihak, kita secara bertubi-tubi diingatkan tentang "kontrak sosial" yang tidak boleh dipertikaikan kononnya, tentang hak istimewa dan ketuanan Melayu, tentang kepentingan penyatuan bangsa Melayu.

Di pihak yang lain, kita diingatkan pula tentang kaum pendatang yang melampau, kurang ajar, dan mengancam; tentang kejadian Mei 13 (tahun 1969) dan Operasi Lalang (1987); tentang desakan dan gertakan terhadap sesuatu kaum supaya mereka tunduk atau menghadapi akibat yang buruk; tentang huru-hara, kehilangan nyawa dan harta benda, dan sebagainya.

Dalam ‘krisis antara kaum’ itu, identiti ras kebanyakan rakyat Malaysia mungkin telah diperkuatkan, diputar belit dan dieksploitasikan sehingga Dr Mahathir dan Umno pada awalnya telah berjaya mendapat persetujuan musuh ketat politiknya PAS dan Keadilan untuk duduk semeja demi membincangkan 'penyatuan kaum Melayu'!

Bagaimanpun, Keadilan telah menolak pelawaan Umno tersebut, dan PAS pula bersetuju menyertai pertemuan Melayu itu secara bersyarat. Nampaknya agenda politik perkauman Umno tidak begitu mudah dicapai.

Dasar pecah dan perintah Inggeris Politik perkauman ini boleh dikatakan berpunca daripada dasar pecah dan perintah (divide and rule) yang diamalkan oleh penjajah Inggeris.

Misalnya, penjajah Barat itu dengan sengaja mewujudkan fungsi-fungsi ekonomi yang dibahagi-bahagikan mengikut kaum-kaum berlainan.

Orang Melayu dikekalkan dalam kawasan desa sebagai petani tradisional, sementara Cina dan India pula dijadikan buruh-buruh murah di lombong timah dan ladang getah sebelum Perang Dunia Kedua.

Dengan demikian, perpaduan rakyat negara ini, khususnya dalam gerakan antipenjajahan Inggeris cuba dipecah-belahkan.

Tenaga progresif rakyat Malaya, umpamanya Pusat Tenaga Rakyat (Putera) yang merupakan gabungan badan-badan kiri Melayu termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (Awas), Barisan Tani Se-Malaya (Batas), Hizbul Muslimin (persatuan Islam) dan Gerakan Angkatan Muda (Geram) telah bergabung dengan badan-badan kiri bukan Melayu yang dinamakan Majlis Gerakan Bersama Se-Malaya (AMCJA) pada tahun 1940-an.