JAWATANKUASA PENGANJUR MEI 1, 2001
72B, Taman Sri Langat, Jalan Reko, 43000 Kajang, Selangor

21 April, 2001
Kepada Individu , Semua Persatuan, Organisasi dan Parti Politik Saudara/i

ENDORSEMENT DEKLARASI PERAYAAN MEI 1, 2001

Jawatankuasa Penganjur Mei 1, 2001 yang terdiri daripada badan-badan bukan kerajaan dan parti-parti politik telah mengambil initiatif untuk menganjurkan perayaan May Day tahun ini. Perayaan kali ini akan diadakan di Petronas "Twin Tower", K.L.

Deklarasi May Day 2001, yang disertakan bersama-sama adalah tuntutan semua sektor pekerja dan lapisan masyarakat ini akan dibacakan oleh wakil-wakil pekerja pada hari May Day ini. Kami, dengan ini meminta sokongan atau endorsement daripada Pertubuhan atau Organisasi saudara/i.

Tarikh akhir untuk endorse adalah 28hb April, 2001. Fax semua endorsement kepada 03-87370766 atau 05-5461608.

Selain itu, mana-mana pihak yang mahu membuat sumbangan atau menderma untuk menjayakan Perayaan May Day ini, boleh membuat demikian kepada pihak penganjur.

Bagi sebarang pertanyaan, sila hubungi Sivan (019-2334601) atau Ravi (012-3115090). Pertubuhan atau Organisasi yang telah endorse setakat ini ialah ALAIGAL, CDC, CF, DEMA, JKMI, JSPB, KKM, KOMAS, PERMAS, PMI, PRM, PSM, REFORMIST, SUARAM, SWP, UBU, URU Sekian terima kasih, Salam Perjuangan SIVAN Penyelaras May Day 2001

DEKLARASI MEI 1 2001 PEKERJA MALAYSIA

MENUNTUT 10 TUNTUTAN UNTUK PEMBANGUNAN SAKSAMA UNTUK SEMUA

Negara Malaysia telah mengecapi pelbagai pembangunan materialisme yang pesat.Bangunan Twin Tower, bangunan tertinggi di dunia merupakan salah satu simbol materialisme negara yang senantiasa dikaitkan dengan keagungan, kemakmuran , kemewahan dan menjadi laungan dalam negara dan di forum-forum dunia oleh golongan pemodal dan pemimpin-pemimpin negara.

Pembangunan materialisme ini seterusnya diandaikan telah membawa pembangunan kepada rakyat keseluruhanya. Realistiknya hujah tersebut boleh dipertikaikan memandangkan usaha untuk mewujudkan pembangunan taraf hidup dan kemanusiaan saksama dan adil tanpa mengira kaum,agama budaya dan jantina masih tidak jelas dan meragukan .

Manakala warga pekerja yang telah bertungkus lumus dan membanting tulang untuk menjana dan menghasilkan kemakmuran dan kemewahan negara tersebut tidak dihargai dan disisihkan daripada pembangunan taraf hidup yang saksama.

Manakala hak dan keperluan asas mereka sentiasa diabaikan dan dicabul dengan sewenang-wenangnya. Ini mewujudkan pembangunan materialisme yang hanya dimanfaatkan oleh segelintir golongan yang hanya mementingkan semata-mata kemewahan dan kuasa tanpa menitikberatkan pembangunan saksama yang adil kepada golongan pekerja khususnya dan rakyat amnya .

Justeru itu, kami warga pekerja dari pelbagai sektor, kaum, budaya, agama dan jantina yang menjadi tulang belakang dan nadi kepada kemakmuran dan kemajuan negara menuntut supaya sumber kekayaan negara diagihkan secara saksama dan adil untuk pembangunan saksama untuk semua golongan rakyat.

Untuk itu di sini kami ingin mengutarakan 10 tuntutan untuk pembangunan saksama untuk semua:

  1. Gaji dan ganjaran yang saksama dan adil untuk setiap sektor pekerjaan tanpa mengira kaum, agama, budaya dan jantina
  2. Gubal akta gaji minima yang adil Peningkatan gaji dan bonus tahunan mestilah selaras dengan keuntungan syarikat dan tahap inflasi negara
  3. Laksanakan sistem bekerja 5 hari seminggu dengan waktu kerja biasa tidak melebihi 40 jam seminggu
  4. Meningkatkan cuti bersalin ibu kepada 90 hari dan memberikan cuti kebapaan sekurang-kurangnya seminggu
  5. Laksanakan faedah-faedah pemberhentian kerja yang adil dan saksama
  6. Gubal undang-undang untuk melindungi pekerja wanita daripada ganguan seksual di tempat kerja
  7. Gubal undang-undang untuk mewajibkan setiap majikan mneyediakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja
  8. Menuntuk perlindungan hak pekerjaan pekerja terhadap polisi liberalisasi (perkorporatan dan penswastaan) dan di dalam sektor informal (part time, homebase dan pekerja kontrak)
  9. Menuntut sumbangan kerja rumah wanita diiktiraf serta diambilkira dalam pengiraan sumbangan pembangunan dan pengeluaran negara.
  10. Warga pekerja asing harus diberikan perlindungan dari segala diskriminasi dan eksploitasi majikan dan hak pekerjaan dan upah yang setara dengan pekerja tempatan

Untuk pembangunan saksama untuk semua dalam:

  • Meningkatkan taraf hidup dan menanggung kos hidup yang sempurna
  • Merapatkan jurang perbezaaan pendapatan di antara yang kaya dengan miskin
  • Pengagihan keuntungan syarikat yang lebih saksama dan adil kepada warga pekerja
  • Menghadkan masa pekerjaan yang mana akan menrealisasikan penumpuan lebih masa seseorang pekerja terhadap pembangunan keluarga dan sosial

Hak dan kemudahan perumahan atau tanah yang sempurna

  • Kerajaan mesti menjamin agar setiap rakyat diberi keutamaan memiliki rumah atau tanah yang selesa dan sempurna dengan memastikan projek-projek perumahan mestilah berlandaskan keperluan rakyat dan bukan semata-mata keuntungan sahaja dengan memfokuskan kepada pembinaan rumah teres kos rendah yang sempurna dan berpatutan
  • Mengharamkan pemindahan atau penempatan rakyat ke rumah panjang atau rumah pangsa yang tidak selesa dengan ruang sempit dan kekurangan kemudahan asas yang menjadi sarang gejala sosial dan anasir jahat
  • Memperuntukkan kemudahan asas dan keperluan rekreasi yang sempurna untuk rakyat di setiap kawasan perumahan
  • Memupuk nilai-nilai kemanusiaan , integrasi dan keharmonian kaum dengan menstrukturkan aktiviti-aktiviti sosial yang berlandaskan akarumbi di setiap kawasan perumahan.
  • Mengharamkan sebarang pengusiran secara paksa atau undang-undang yang tidak adil oleh pihak kerajaan dan pihak pemaju atau majikan.
  • Menyediakan perumahan alternatif yang kekal dan memberikan pampasan yang adil melalui rundingan bersama kepada golongan pekerja yang menjadi mangsa projek-projek pembangunan
  • Hak tanah Masyarakat orang asli perlu digazetkan dan dipelihara , dan kemudahan-kemudahan asas perlu disediakan dengan usaha yang bersungguh-sungguh

Perkhidmatan kesihatan percuma dan berkualiti

  • Menjamin untuk semua golongan rakyat mendapat dan mengecapi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan sempurna secara adil dan saksama
  • Meningkatkan taraf kesihatan dan melindungi kebajikan warga perkerja dengan menjamin warga pekerja tidak dibebankan dengan kos kesihatan yang tinggi yang menghadkan mereka daripada mengecapi perkhidmatan kesihatan yang berkualiti

Hak pendidikan yang saksama dan adil

  • Kerajaan harus bertanggungjawap sepenuhnya untuk menyediakan perkhidmatan pendidikan percuma yang selesa dan berkualiti untuk semua tahap tanpa dibebankan dengan kos pendidikan yang tinggi atau tanpa mengkorparatkannya untuk tujuan keuntungan

Hak rakyat sebagai pengguna mesti dihormati

  • Mansuhkan penswastaan dan perkorparatan perkhidmatan awam yang amat membebankan rakyat kerana badan swasta dan korparat menitikberatkan keuntungan lebih daripada perkhidmatan kepada rakyat
  • Kerajaan harus memikul tanggungjawap utama dalam memperuntukkan keperluan asas dengan kos yang murah dan perkhidmatan awam yang bersih, cekap dan amanah untuk setiap rakyat
  • Projek-projek mewah yang tidak memberi manfaat kepada rakyat dan yang membazirkan wang rakyat mestilah dihentikan, dan tumpuan pembangunan mesti diberikan kepada kemudahan dan keperluan asas rakyat Kenaikan harga barang , dan kos keperluan dan perkhidmatan asas yang menekan rakyat mesti dibendung dengan ikhlas.
  • Jangan menggunakan wang KWSP dengan sewenang-wenangnya untuk projek-projek mewah dan menyelamatkan ahli-ahli korporat, dan keputusan bagaimana wang KWSP harus digunakan perlu dilakukan oleh golongan pekerja bukan oleh segelintir orang yang berkuasa.

Mansuhkan aktiviti-aktiviti pembangunan yang mencemarkan alam sekitar

  • Haramkan aktiviti-aktiviti pembangunan yang tidak terkawal yang hanya mementingkan keuntungan dan kemewahan semata-mata yang akan menyebabkan gangguan ekologi dan cuaca yang boleh mengancam kesejahteraan dan kesihatan rakyat.
  • Kerajaan mesti membuat perancangan jangka panjang yang jelas untuk pemeliharaan alam sekitar negara untuk manfaat rakyat keseluruhannya

Tegakkan demokrasi dan hak asasi rakyat seperti hak bersuara , berhimpun dan berpersatuan dan mansuhkan segala undang-undang yang menyekat hak rakyat.

  • Mansuhkan segala undang-undang yang menyekat hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan kehendak mereka seperti ISA, OSA, AUKU,Akta Pertubuhan, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan beberapa seksyen daripada akta polis
  • Kerajaan harus transparent dan tidak mengkongkong pemikiran rakyat melalui alat propaganda umum seperti media dan tidak menyalahgunakannya untuk menyebarkan propaganda palsu dan yang bertujuan memesongkan fakta dan menakutkan rakyat
  • Semua golongan pekerja harus diberikan hak menubuhkan kesatuan sekerja tanpa sekatan untuk membela dan menegakkan hak pekerja. Mansuhkan atau pinda sebarang undang-undang yang menghadkan warga pekerja untuk membentuk, menyertai dan bergiat dalam kesatuan sekerja .
  • Laksanakan rangka perundingan tiga pihak (tripartism) yang berkesan, adil dan demokratik

Pertegakkan pemerintahan yang bersifat transparent, bertanggungjawap dan kredible untuk mempertingkatkan kebebasan dan kecekapan jentera-jentera pentadbiran negara

  • Mahkamah,Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Hak Kemanusian Malaysia , Perkhidmatan Polis, Badan Pencegah Rasuah harus bebas daripada campurtangan pihak-pihak yang berkepentingan khasnya pihak eksekutif dan mesti mengembalikan kepercayaan rakyat
  • Tindakan polis menyalahgunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya ke atas rakyat biasa harus dibendung, dan pihak polis harus bebas daripada memihak kepada mana-mana pihak yang berkepentingan
  • Perkhidmatan awam harus menyediakan perkhidmatan yang transparent tanpa rasuah, kronisme dan nepotisme untuk perkhidmatan awam yang cekap ,cepat dan mesra
  • Kembalikan semula Sistem pilihanrayaKerajaan tempatan untuk memperluaskan ruang penglibatan rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen
  • Harus melibatkan semua pihak masyarakat dalam proses perancangan pembangunan saksama dan adil untuk rakyat

Pembentukan perpaduan tulen dan pembangunan masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu harus dirancang dengan jelas

  • Pergeseran di antara kaum dan agama yang berbeza menjadi-jadi kebelakangan ini, misalnya isu Kampung Rawa dan Kampung Medan. Kejadian tersebut mesti dijadikan pengajaran untuk mengatur satu perancangan jangka panjang dengan mengenalpasti langkah-langkah konkrit untuk mewujudkan perpaduan tulen untuk rakyat Malaysia .
  • Hentikan politik perkauman serta mansuhkan polisi yang bersifat diskriminasi kaum dan agama yang memecahbelahkan rakyat pelbagai kaum dan bangsa
  • Dasar ekonomi dan sosial mesti berlandaskan prinsip menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum, agama, jantina dan pegangan politik

Pembangunan dan kepentingan pengeluaran pertanian dan makanan negara harus dirancang dengan jelas untuk masa jangka panjang

  • Kerajaan mesti bersungguh-sungguh untuk mewujudkan dasar pertanian dengan perancangan rangka panjang yang berarah kepada pengwujudan aktiviti-aktiviti pertanian untuk menjamin penggunaan tempatan yang mencukupi untuk masa jangka panjang
  • harus menggalakkan pembentukan koperasi petani dan juga industri kecil pertanian yang diuruskan oleh persatuan petani sendiri tanpa kawalan pihak luar