NEWSDua memo bantahan diserah kepada Mahathir
'Ein AzmiApril 17:Pelajar, termasuk perwakilan siswa Universiti Islam Antarabangsa, menyerahkan dua memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dalam upacara perasmian universiti itu walau kawalan keselamatan ketat.
Majlis Perwakilan Pelajar UIA dan gabungan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) lain membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan mendesak tujuh pemimpin Parti Keadilan Nasional dan aktivis reformasi yang ditahan minggu lalu dibebaskan.
Mereka juga menggesa pendidikan diberikan percuma dan menghapuskan kadar empat peratus pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Memorandum pertama yang dihantar oleh gabungan beberapa kumpulan pelajar beberapa universiti itu turut mengecam acara perasmian hari ini.
"Kami percaya sebuah IPT tidak wajar dirasmikan oleh seorang pemimpin zalim," memorandum yang dikeluarkan oleh tujuh kumpulan itu dipetik. Mereka juga menggesa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendapatkan rawatan terbaik, walaupun di luar negara.
Ketika dihubungi sebentar tadi, jurucakap gabungan ini Ahmad Zaki Yamani Zainon, bagaimanapun memohon maaf kepada orang ramai yang hadir di pintu masuk UIA di Gombak, Selangor jam 9 pagi tadi kerana rancangan asal tidak dapat diteruskan.
Kumpulan itu bercadang menyerahkan memorandum itu, dengan sokongan orang ramai, kepada Dr Mahathir di situ. "Kehadiran polis pencegah rusuhan, kenderaan meriam air dan helikopter dalam kawasan universiti adalah amat tidak wajar.
Ia membuktikan betapa takutnya Dr Mahathir dengan rakyat," katanya, sambil menambah pasukan polis itu diletakkan berdekatan stadium universiti.
Bersama 10 pemimpin pelajar, termasuk seorang pemimpin Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) Chai Chee Fat, Ahmad Zaki menyerahkan memorandum itu di pintu masuk Dewan Pusat Aktiviti Kebudayaan universiti jam 10 pagi. "Tindakan kasar pihak keselamatan bagaimanapun menghalang (menolak badan) perwakilan kami daripada menyampaikan memo itu sepenuhnya kepada beliau (Dr Mahathir)," jelas Ahmad Zaki.
'Menyingkirkan nama Anwar'
Sementara Majlis Perwakilan Pelajar UIA menyerahkan bantahan itu tengahari tadi selepas selesai upacara perasmian tersebut. Presidennya Ahmad Fazli Yusof bersama 10 pelajar lain menyerahkan memorandum itu, yang mengandungi tiga perkara utama, termasuk sikap pelajar berhubung Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (RRJP3) yang menyentuh isu-isu pembasmian kemiskinan, pembangunan usahawan Bumiputera, kadar pengangguran dan kajian semula kurikulum pendidikan negara.
Memorandum itu juga menggesa kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) bagi memberikan kebebasan yang lebih meluas kepada pelajar.
Antaranya, pindaan seksyen 7 yang melarang pelajar menyertai perhimpunan, larangan memiliki alat pembesar suara (seksyen 8), membawa sepanduk (seksyen 9), larangan terlibat dengan aktiviti di luar kampus tanpa keizinan Naib Canselor (seksyen 11), larangan terbabit dengan parti politik dan kesatuan sekerja (seksyen 15) dan larangan membuat sebarang hubungan dengan akhbar dan orang ramai (seksyen 13).
Perasmian kampus itu oleh Dr Mahathir mula diperdebatkan beberapa minggu lalu. Akhbar pembangkang, Harakah dalam keluaran 16 April lalu, menyebutkan perasmian itu bertujuan "memutarbelitkan fakta sejarah dan percubaan menyingkirkan nama Anwar" sebagai tokoh yang berjasa selama 11 tahun memegang jawatan Presiden UIA.
Bekas pemimpin pelajar universiti itu pula mempersoalkan sama ada Perdana Menteri cuba menarik simpati pelajar-pelajar UIA. "Jelas wujud agenda politik di sebalik pelantikan Mahathir sebagai pengasas UIA. Adakah beliau cuba menarik simpati pelajar?
Beliau telah gagal bukan sahaja hari ini tetapi sejak lama dulu," kata peguam Shamsul Iskandar @ Yusre Mohd Akin, yang pernah menjawat Presiden Majlis Perwakilan Pelajar UIA kira-kira empat tahun lalu.
"Senyumannya tidak akan mampu menyembuhkan kesakitan yang ditimbulkan kepada golongan pelajar. Beliau seorang yang tidak berhati perut." Sementara akhbar New Straits Times hari ini melaporkan rektor pertama universiti itu Tan Sri Profesor Dr Muhammad M Abdul Rauf berkata "kalau tidak kerana Dr Mahathir, UIA tidak akan wujud."
Berita itu bertajuk 'Dr Mahathir is real and true father of IIUM' (Dr Mahathir pengasas sebenar dan sejati UIA) turut menyebutkan "universiti itu berjaya berada di tahap sekarang kerana sokongan Dr Mahathir dan kerajaannya."
Universiti Islam diasaskan sejak 1983 dalam usaha kerajaan menjalankan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam dan kampus awalnya terletak di Petaling Jaya, Selangor. Kampus Gombak digunakan secara berperingkat-peringkat mulai 1996.
source:malaysiakini.com