NEWS

Memorandum Jawatankuasa Kerja Jurutera-jurutera Muda Graduan UTM
12 Mei 2001

Yang Berbahagia

Tuan Pengarah BEM Tuan,

Kami, graduan-graduan Universiti Teknologi Malaysia tahun 1999, dalam jurusan Kejuruteraan Awam, Elektrikal, Mekanikal, Kimia, Computer, Bioproses, Petro-kimia, ingin membawa perkara seperti berikut kepada perhatian tuan.

Latar Belakang Pengalaman kami

Kami sebenarnya merupakan pelajar program lima tahun dalam jurusan Kejuruteraan. Kami telah memulakan pengajian kami pada bulan Jun tahun 1995.

Mengikut surat tawaran yang diberikan oleh pihak universiti, kami sepatutnya mengikuti kursus ini selama lima tahun, iaitu sebanyak sepuluh semester dengan latihan industri selama satu semester pada semester ke sembilan.

Namun demikian, Kementerian Pendidikan telah mengarahkan semua universiti mengurangkan tempoh pengajiannya pada tahun 1996 supaya lebih ramai graduan dapat memenuhi kekosongan-kekosongan jawatan yang amat diperlukan dalam pasaran pekerjaan pada masa itu.

Maka, kursus kami telah dikurangkan tempohnya kepada empat tahun setengah oleh pihak universiti selepas selama satu tahun pengajian. Walau pun tempoh pengajian kami dikurangkan setengah tahun tetapi ia masih merangkumi sepuluh semester.

Hal ini adalah kerana latihan industri kami diadakan dari bulan April hingga bulan Jun tahun 1999 yang mana ianya merupakan cuti panjang penghujung semester.

Tetapi apabila kami memohon untuk menjadi ahli Lembaga Jurutera Malaysia, kami difahamkan bahawa permohonan kami telah diklasifikasikan kepada pendaftaran bersyarat ( "Restricted Registration" ) dengan syarat kami perlu mempunyai pengalaman bekerja selama enam tahun dari tarikh pendaftaran kami diluluskan oleh pihak puan.

Ini bermaksud kami terpaksa bekerja selama 6 tahun sebelum kami dibenarkan untuk menduduki peperiksaan Jurutera Profesional (Professional Engineer).

Kami berasa adalah tidak adil kerana bekas pelajar program lima tahun yang mempunyai kurikulum yang sama hanya memerlukan hanya empat tahun pengalaman bekerja sahaja. Lebih-lebih lagi, proses BEM mendaftarkan kami telah mengambil 16 bulan untuk diluluskan iaitu dari November 1999 sehingga April 2001.

Biasanya proses ini hanya mengambil 1-2 bulan. Maka kami terpaksa tunggu sejumlah tujuh tahun setengah untuk menjadi jurutera professional sedangkan jurutera-jurutera lain hanya memerlukan 4 tahun sahaja.

Kejadian ini bukan hanya berlaku pada graduan-graduan UTM sahaja, ia juga berlaku kepada graduan jurutera Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS). Ini bermaksud semua graduan IPTA dan IPTS, telah dimangsakan di bawah keputusan Kementerian Pendidikan yang tergesa-gesa.

Kementerian gagal mengambil pertimbangan terhadap hak dan masa depan pelajar-pelajar yang mengikuti kursus yang ditawarkan. Tambahan pula keputusan untuk mengurangkan tempoh pengajian bukan pada keputusan pelajar sendiri tetapi ditentukan oleh pihak kerajaan.

Malangnya kesilapan pihak kerajaan dan pihak universiti terpaksa ditanggung oleh graduan dan ini adalah amat tidak adil dan tidak menunjukkan profesional dalam kesemua pihak dalam menangani masalah ini.

"Kontrak sosial" pelajar dengan universiti yang pada asalnya menjanjikan suatu ijazah yang diiktiraf telah dicampur tangan oleh Kementerian dan akibat daripada kejadian itu terpaksa pula ditanggung oleh pelajar sendiri.

Tuntutan Kami

1. Kami berasal kesal terhadap apa yang berlaku ke atas kami selama ini. Oleh kerana kejadian ini ditimbulkan oleh Kementerian Pendidikan, maka, kami meminta Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Muhammad, campur tangan memperbetulkan kejadian ini dengan kadar segera.

2. Kami berharap keputusan yang melibatkan system pendidikan negara seharusnya dikaji secara terperinci sebelum sebarang keputusan yang tergesa-gesa dan tidak professional dibuat. Perkara ini seharusnya diambil sebagai tanda peringatan kepada semua pihak yang terlibat. Kami berharap pengalaman kami tidak akan diulangkan lagi pada masa-masa akan datang dan semua graduan yang terlibat diberi pengadilan yang sewajarnya.

3. Kami meminta keputusan BEM untuk mendaftarkan kami secara bersyarat dikaji balik memandangkan pengalaman dan kurikulum kami yang tidak berbeza dengan jurutera-jurutera graduan UTM yang terdahulu.

4. Kami meminta BEM supaya mendaftarkan kami mulai tarikh yang kami menghantarkan borang pendaftaran bukannya tarikh keputusan BEM baru-baru ini.

5. Kami menggesa IEM (Institut Jurutera Malaysia) yang merupakan badan pembela semua jurutera membela hak kami yang sewajarkan. Jawatankuasa ini terpaksa mengambil tindakan sedemikian setelah semua pintu perbincangan dan "negotiation" gagal. Kami telah mengantar surat aduan kepada BEM pada 16 MAC 2001 tetapi tidak ada sebarang respons daripada pihak BEM. Kami telah cuba mengaturkan sesi dialog dengan BEM dan pihak universiti tetapi gagal.

Kami memohon maaf terdahulu atas sebarang kesilapan yang tidak diingini. Akhir sekali, jawatankuasa ini ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan daripada pihak tuan untuk membantu menyelesaikan masalah yang kami hadapi selama ini.

Terima kasih.

Yang ikhlas daripada Jawatankuasa Kerja Jurutera Muda Graduan UTM.