NEWS

Pecat pelajar: UiTM dituduh tidak adil, langgar hak asasi

Universiti Teknologi Mara (UiTM), yang memecat seorang pelajar Jumaat lalu atas tuduhan menyertai perhimpunan haram awal bulan ini, didakwa bertindak tidak adil apabila menafikan hak pelajar itu membela diri.

Razfan Ramli, pelajar tahun dua kejuruteraan, bersama enam yang lain ditangkap polis di depan Masjid Negara pada 8 Jun lalu ketika mengadakan perhimpunan aman bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Ketujuh-tujuh orang itu dibebaskan keesokannya dengan jaminan polis dan tidak didakwa di mahkamah. Perhimpunan itu yang disertai 200 pelajar dianjurkan oleh gabungan 12 persatuan pelajar pusat pengajian tinggi tempatan yang dikenali Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).

Pemuda Parti Keadilan Nasional hari ini mendakwa jawatankuasa tatatertib universiti itu tidak mengikut tatacara yang diperuntukkan dalam Akta Institusi-institusi Pelajar (Tatatertib).

Menurut akta itu, seseorang pelajar mesti diberikan peluang menyoal balas saksi-saksi dan memeriksa dokumen serta bukti yang dikemukakan. Pelajar juga dibenarkan memanggil saksi-saksi atau mengemukakan bukti bagi menyokong pembelaannya.

“Kita tidak menolak kemungkinan untuk membawa kes ini ke mahkamah,” kata Biro Hak Asasi Manusia pergerakan itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin. “Biro (ini) juga akan memastikan kezaliman ini dibawa ke Dewan Rakyat dan juga perhatian (pihak) antarabangsa.” Biro Pemuda itu juga menggesa akta tersebut dimansuhkan kerana “memberi ruang kepada universiti untuk berlaku zalim kepada para pelajar.”

Sementara Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) turut menyifatkan tindakan UiTM sebagai “zalim dan bersalahan dengan hak asasi manusia.” “Gamis mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat dan memberi perhatian serius berhubung kes (pemecatan) ini,” kata Presidennya Kamarulzaman Abdullah.

Pada Mei 1999, seorang pemimpin pelajar Ahmad Zaki Yamani Zainon dibuang daripada universiti itu selepas didakwa gagal menghadiri perbicaraan tatatertib berhubung tuduhan menyertai perhimpunan haram pada 14 April tahun itu.

Pelajar tahun tiga perakaunan, juga Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), menfailkan saman terhadap Menteri Pendidikan dan universiti itu pada Januari tahun lalu.

Bagaimanapun saman itu dibatalkan pada Mac selepas Ahmad Zaki menjangkakan kes itu sukar dimenanginya dan sebaliknya akan menanggung kos antara RM20,000 hingga RM30,000.

source:malaysiakini.com