NEWS

Demo anti-ISA: PMIUM nafi penulis surat Utusan
‘Ein Azmi

June 29 :Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menafikan tuduhan dalam surat di Utusan Malaysia hari ini yang menyebut pelajar baru telah “ditipu dan diperalat” untuk menghadiri perhimpunan bagi membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 8 Jun lalu.

Penulis surat itu, BK Muslimin dari Kuala Lumpur, mendakwa sekumpulan pelajar tahun pertama “telah diangkut dengan sebuah bas ke pekarangan Masjid Negara untuk menyertai perhimpunan haram membantah ISA.”

“Para pelajar baru itu pada mulanya diberitahu bahawa mereka telah diberi tawaran untuk menjadi eksekutif (ahli jawatankuasa) di dalam satu proram Konvensyen Mahasiswa Islam dan diarahkan untuk menghadiri suatu perjumpaan pada 8 Jun bertempat di sekretariat Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM),” surat itu, dalam ruangan ‘Forum’, dipetik.

Bagaimanapun Setiausaha Agung PMIUM, Mohd Hamidi Zakaria menafikan kenyataan penulis itu. “PMIUM tidak ada bas hendak mengangkut sesiapa,” katanya kepada malaysiakini lewat petang tadi, sambil menegaskan tidak ada pihak yang memaksa pelajar untuk menyertai perhimpunan itu.

Katanya, persatuan itu tidak pernah menghasut pelajar baru tetapi memberi kefahaman tentang isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara termasuk tangkapan di bawah akta itu.

Apabila ditanya tentang pertemuan di sekretariat persatuan itu seperti didakwa, Mohd Hamidi berkata “beliau tidak pasti” tentang pertemuan itu, dan menambah “kalau ada, hanyalah pertemuan di peringkat teknikal (tentang konvensyen itu).”'Menangis dan ketakutan' Dalam surat tersebut, penulis turut menceritakan pelajar tahun pertama itu dipaksa oleh pelajar-pelajar lama supaya memegang poster serta sepanduk di luar kemahuan mereka.

Surat itu menyebutkan, dalam “keadaan menangis dan ketakutan” pelajar-pelajar tersebut tetap melakukannya kerana “takut mengingkari arahan senior (pelajar lama).”

Dalam perhimpunan itu, dianjurkan oleh gabungan 12 persatuan pelajar yang dikenali Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI), tujuh orang, termasuk enam pelajar pusat pengajian tinggi tempatan, ditangkap.

Sementara itu GMMI menyerahkan satu memorandum membantah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) pada jam 10 pagi esok. Gabungan itu dijangka menemui timbalan pengerusi suruhanjaya itu Tan Sri Harun Hashim. Jurucakap gabungan itu Syahrir Mahmood memberitahu malaysiakini semalam, turut diserahkan esok adalah aduan mengenai tindakan polis menyuraikan perhimpunan aman tersebut.

Anggota GMMI termasuklah Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema).

source:malaysiakini.com