muka 1
Transformasi
Minda dalam Proses Reformasi Identiti
Ras dan Politik Perkauman Menghapuskan
Perkauman:Kenapa Mahasiswa dan Bagaimana? Pemuda
Sebagai Penawar Keracunan Perkauman |
Identiti
ras dan politik |
Gabungan Putera-AMCJA memperjuangkan kemerdekaan negara kita berasaskan 10 Prinsip Perlembagan Rakyat yang progresif dan melampaui batas kaum. Namun, tenaga progresif rakyat ini tersebut telah ditindas secara menyeluruh oleh penjajah Inggeris pada 1948 selepas pengisytiharan darurat di negara kita. Pada masa yang sama, penjajah Inggeris secara rapi memupuk parti-parti politik yang propenjajah seperti Umno, MCA dan MIC untuk diketengahkan dalam arena politik Malaya. Mereka membuat persiapan supaya kuasa politik negara diserahkan kepada tiga parti kaum ini sebagai regim bonekanya. Justeru itu, Perikatan yang terdiri daripada parti-parti tersebut di atas berpeluang bertapak dan membolot hasil perjuangan rakyat apabila memerintah negara ini. Perjuangan Barisan Sosialis (1957-1965) Tradisi perjuangan kiri yang berasaskan teori kelas dan menentang sebarang politik perkauman itu diteruskan oleh Barisan Sosialis yang merupakan gabungan Parti Buruh (1952-1972) dan Parti Rakyat Malaya (1955- ). Barisan tersebut memberikan sumbangan besar dalam memimpin rakyat pelbagai bangsa untuk menentang dasar-dasar Perikatan yang propenjajah Inggeris dan imperialis Amerika Syarikat. Antaranya, Barisan Sosialis menentang pembentukan Malaysia yang merupakan satu perancangan penjajahan cara baru. Melalui perjuangan pilihanraya, mereka mengambil bahagian dalam pemilihan di peringkat majlis tempatan, majlis bandar raya, dewan-dewan undangan negeri sehingga di Dewan Rakyat. Mereka memenangi banyak kerusi, termasuk di beberapa majlis tempatan dan majlis bandar raya (umpamanya Georgetown, Melaka, Seremban, dan Kluang). Mereka juga dengan sepenuh hati menyokong perjuangan pekerja, petani, dan lapisan-lapisan rakyat yang lain. Namun, Barisan Sosialis akhirnya dibubarkan akibat penindasan dan sabotaj parti Perikatan melalui taktik-taktik politik yang kotor, termasuk tangkapan beramai-ramai, pengharaman dua parti tersebut di peringkat cawangan dan bahagian. Akhirnya dua parti tersebut mengambil keputusan untuk memboikot pilihanraya umum 1969 untuk memprotes "kematian demokrasi" di negara kita. Selepas pilihanraya umum itu, tercetuslah peristiwa 13 Mei dan politik perkauman di negara kita mencapai kemuncaknya. Barisan Nasional dan politik perkaumannya Dalam peristiwa berdarah itu, hubungan baik antara kaum telah dimusnahkan sama sekali. Kesannya dapat dirasai hingga sekarang apabila ia selalu dieksploitasi dan disebut-sebut oleh ahli-ahli politik dan pelampau perkauman untuk menggertak pembangkang dan kaum bukan Melayu. Contoh yang terbaru ialah isu Suqiu. Jawatankuasa pilihanraya ini terpaksa bersetuju untuk mengetepikan tujuh perkara tersebut akibat desakan dan ugutan Umno dan GPMS: Jika tidak berkompromi, kononnya keamanan negara akan terancam - dan kejadian 13 Mei diulang-ulangkan! Walau Barisan Nasional merupakan gabungan parti-parti perkauman tetapi sebenarnya didominasi oleh Umno yang mendakwa mewakili kepentingan Melayu. Selain struktur parti, dasar-dasar BN juga tidak dapat melampaui kepentingan perkauman. Umpamanya Dasar Ekonomi Baru (DEB) digubal berasaskan berasaskan satu kaum, bukan berasaskan keperluan sosio-ekonomi rakyat termiskin tanpa mengira kaum. Dasar pendidikan dan kebudayaan BN juga merupakan ‘Bumiputera-isme’ atau cauvinis Melayu yang bermatlamat untuk mengasimilasi dan menyekat perkembangan agama ,bahasa, pendidikan dan kebudayaan kaum bukan Melayu. Berasaskan teori hak istimewa dan ketuanan Melayu, Umno secara terang-terangan menafikan kesama-rataan hak bagi semua kaum, terutamanya mengenai bahasa, pendidikan, agama dan kebudayaan. Dengan mengetepikan tujuh perkara seperti dipersetujui Pemuda Umno-Suqiu, hak istimewa dan ketuanan Melayu menjadi perkara yang tidak boleh dipertikaikan lagi! Cuba fikir, bagaimana rakyat kita dapat bersatu padu jika mereka sentiasa diperingatkan bahawa mereka tidak setaraf - ada golongan Bumiputera dengan hak istimewa dan ada pula golongan bukan Bumiputera (kaum pendatang) yang wajar didiskriminasikan. Saranan untuk mengatasi politik perkauman Daripada analisa tersebut, politik perkauman di negara kita telah lama wujud dan mempunyai latar belakang sejarah yang bercantum dengan unsur-unsur politik semasa. Namun, mengatasi politik perkauman merupakan tugas bersama kita - golongan yang ingin memperjuangkan reformasi politik demi prinsip demokrasi, keadilan dan hak asasi manusia. Untuk mengatasi politik perkauman, saranan-saranan berikut wajar diberikan perhatian serius: - Memahami latar belakang dan perkembangan politik perkauman di negara kita amnya dan dasar-dasar perkauman BN khasnya; - Menganut nilai-nilai sejagat, terutamanya prinsip-prinsip demokrasi, keadilan, dan hak-hak asasi manusia untuk mengatasi fahaman perkauman yang sempit; - Rakyat Malaysia mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama tanpa mengira kaum, tempat asal, anutan agama, dan sebagainya; - Dasar-dasar asimilasi dan diskriminasi kaum dalam segala bidang, terutamanya dalam bidang-bidang agama, bahasa, pendidikan, kebudayaan, ekonomi, sosial dan pentadbiran hendaklah dimansuhkan dan digantikan dengan dasar-dasar yang lebih munasabah sesuai dengan masyarakat majmuk agar hak-hak legitimasi semua kaum dapat dipelihara; - Parti-parti satu kaum hendaklah dibubarkan atau dicantumkan menjadi parti pelbagai kaum yang menitikberatkan fahaman atau ideologi politik daripada kepentingan perkauman; - Sekiranya BN yang didominasikan oleh Umno itu masih enggan melepaskan politik dan dasar-dasar perkaumannya, maka tugas utama parti-parti komponen BA ialah merangka dasar-dasar yang lebih demokratik, adil dan saksama tanpa diskriminasi kaum demi reformasi politik dan mewujudkan suatu sistem masyarakat yang lebih bebas dan progresif; - Menubuhkan jawatankuasa hubungan kaum yang bebas dan berwibawa yang dianggotai perwakilan semua kaum untuk menangani masalah-masalah hubungan kaum yang timbul dari semasa ke semasa, dan mempromosi perpaduan nasional secara berterusan dan berkesan. |